KUALA LUMPUR: “Ketika api menyambar dan membakar baju, saya sempat menjerit meminta rakan membantu, namun semua orang termasuk kru masih merakamkan adegan berkenaan. Mungkin mereka sangka saya masih berlakon.”
Demikian kata Mohd Raffi Husin, 24, pelakon pembantu dan lagak ngeri yang melecur hampir 70 peratus badannya ketika melakonkan adegan kebakaran bagi filem BaraJiwa di Taman Seputeh, di sini, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.
Bagaimanapun, Mohd Raffi terselamat daripada cedera lebih teruk apabila beberapa pelakon lain termasuk Fizz Fairuz, Diana Danielle dan Remy Ishak yang menyedari kemalangan itu berusaha memadamkan api pada tubuhnya.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu, Fizz, Diana dan Remy serta beberapa pelakon lain meluru ke arah saya sebelum mencurahkan air dan mengoyakkan baju saya yang terbakar.
“Saya berterima kasih dengan bantuan mereka. Jika tidak, mungkin nyawa saya sudah melayang,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.
Mengimbas kejadian itu, Mohd Raffi berkata, dia memegang watak Kumbang dalam filem berkenaan yang diarahkan Osman Ali dan diterbitkan Nuansa Sdn Bhd.
Menurutnya, sebelum kejadian dia sepatutnya melakonkan aksi membabitkan sebuah banglo meletup.
“Saya diminta masuk ke dalam banglo itu sekejap saja. Sebaik keluar, saya perlu berdiri di hadapan banglo itu sambil membuat pengiraan dan banglo itu akan meletup.
“Bagaimanapun, sebaik saja saya masuk ke dalam banglo itu, tiba-tiba bahan letupan berlaku dan menghasilkan api yang besar sehingga menyambar tubuh saya,” katanya.
Mohd Raffi yang berasal dari Labuan, Sabah itu berkata, dia pada mulanya keberatan melakonkan watak berkenaan kerana kurang sihat.
“Namun, mengenangkan saya pendatang baru dalam dunia lakonan sejak setahun lalu, saya teruskan juga kerana tidak mahu menjejaskan urusan produksi.
“Namun, saya kesal kerana penggambaran babak letupan itu dilakukan agak terburu-buru hingga mencetuskan kebakaran dan mencederakan saya,” katanya.
Menurutnya, petanda malang sudah berlaku sejak awal lagi apabila seorang kru tersimbah petrol ke tubuhnya sebelum melakonkan aksi berkenaan.
“Saya membasuh tubuh bagi mengelakkan disambar api. Kami sudah melakukan beberapa kali latihan untuk menyempurnakan babak itu, namun gagal kerana letupan yang dihasilkan tidak menyebabkan kebakaran.
“Jadi, kru menggunakan petrol bagi menghasilkan impak lebih besar. Malangnya, saya menjadi mangsa,” katanya yang ditemani rakan pelakon, Emma Akma di PPUM.
Difahamkan, seorang lagi rakannya yang juga pelakon pembantu, Shukri Hamzah, 21, turut melecur pada tangan dan muka kanan akibat letupan itu, namun dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.
Sementara itu, Fizz Fairuz yang dihubungi Harian Metro berkata, kemalangan itu boleh dielakkan jika setiap babak yang membabitkan aksi bahaya atau nyawa diberi pengawasan rapi.
“Kejadian berlaku begitu pantas. Kami yang berada berhampiran di tempat kejadian juga nyaris terkena api yang marak. Nasib mungkin menyebelahi kami. Saya serta rakan lain yang berada berhampiran Raffi bergegas membantu memadamkan api yang membakar pakaiannya.
“Saya berharap kejadian ini menjadi teladan kepada semua pihak dan ia tidak berulang,” katanya yang memegang watak Frezz dalam filem itu.
Diana Danielle ketika dihubungi pula berkata, dia masih trauma dan enggan mengulas lanjut kejadian terbabit.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, sehingga petang semalam pihaknya belum menerima laporan kejadian terbabit.
“Namun, saya sudah mengarahkan pegawai pergi ke hospital berkenaan bagi merakamkan percakapan mangsa. Kami (polis) musykil kenapa mereka (pihak produksi) tidak membuat laporan kejadian ini kerana ia kemalangan yang serius,” katanya.
HARIAN METRO
p/s : teringgat pesanan orang tua2 'jangan bermain dengan api nanti terbakar diri sendiri'
Our May Love Letter for You
3 years ago